OGOS 2021

Ketua Menteri Melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak


KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pagi ini telah melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Atrium, Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya.

Kemudian beliau telah melepaskan konvoi berkereta mengelilingi bandaraya Kuching sempena kempen mengibarkan Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Sarawak. 

Ikuti teks ucapan penuh Datuk Patinggi Abang Haji Zohari seperti berikut:

TEKS UCAPAN

YAB KETUA MENTERI SARAWAK

SEMPENA PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN

DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2021

PERINGKAT NEGERI SARAWAK

16 OGOS 2021; JAM 10.00 PAGI

ATRIUM DEWAN UNDANGAN NEGERI

MUKADIMAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera, salam Sarawakku Sayang dan Salam Malaysia Prihatin.

1. Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang telah menjemput saya untuk merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini.

2. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dan dengan kuasa Allah Subhanahu wa Ta'ala kita dapat berkumpul dengan mematuhi SOP di sini ketika kita semua berhadapan pandemik global COVID-19.

JALUR GEMILANG LAMBANG PENYATUAN RAKYAT MALAYSIA MENANGANI COVID-19

3. Ketika negara berhadapan dengan COVID-19, kata-kata hikmah President Amerika Syarikat John F Kennedy “Ask not what the country can do for you - ask what you can do for the country” amat relevan sekali.

4. Ini bukanlah masanya kita bertanya “apa yang saya dapat” tetapi berbekalkan semangat kebangsaan di bawah naungan Jalur Gemilang, setiap rakyat harus memberi khidmat dengan ikhlas dan berkorban untuk menangani pandemik yang sedang melanda negara dan negeri kita.

5. Kita mengucapakan terima kasih kepada “frontliners” di seluruh negeri yang telah berkhidmat bertungkus lumus dan mengorbankan segala kepentingan diri dan keluarga untuk memastikan kita semua selamat dari jangkitan dan musibah COVID-19.

6. Saya ingin memberi jaminan di sebalik naik turun statistik penularan COVID-19 ketika ini, Kerajaan GPS tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa melaksanakan pelbagai tindakan membendung dan mengawal penularan dalam kalangan rakyat negeri ini.

7. Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar utama untuk memerangi COVID-19 ialah dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat yang layak menerima. Alhamdullilah, Sarawak sudah hampir mencapai imuniti kelompok mendahului negeri-negeri lain dengan pemberian vaksin dari bandar hingga ke pedalaman nun jauh berhampiran perbatasan, seperti di Long Singut, Ulu Baleh.

8. Perjuangan kita belum lagi selesai dan masih berterusan. Namun, kami di peringkat Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius betapa perlu usaha keras digemblengkan dari semasa ke semasa sehingga situasi dalam negeri ini kembali normal pada masa mendatang.

USAHA BERSAMA KERAJAAN NEGERI DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN MEMBANTU RAKYAT MENANGANI COVID-19

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

9. Rakyat Sarawak amat bertuah kerana mendapat bantuan daripada kedua-dua Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban mereka ketika berdepan dengan musibah COVID-19.

10. Melalui BKKS 1.0 hingga BKSS 7.0 Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai bantuan bernilai RM5.3 bilion kepada pelbagai peringkat penerima. Saya berharap bantuan-bantuan tersebut bersama dengan bantuan Perihatin Nasional dapat memberi sedikit kelegaan kepada golongan yang terkesan terutama Ketua Isi Rumah, individu dan golongan rentan, dan juga mereka yang terlibat di sektor Industri Kecil dan Sederhana atau SMEs.

7. Kerajaan GPS juga melihat kepada keperluan jangka panjang untuk mempastikan ekonomi Negeri Sarawak terus berada pada landasan yang betul menuju ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.

8. Kerajaan Negeri telah merangka strategi pemulihan ekonomi melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan saiz ekonomi Sarawak berkembang daripada RM 136 bilion pada 2019 kepada RM 282 bilion pada 2030. I am proud to say that we are the first state to come up with the post-covid economic recovery plan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

9. Ketika negeri dan negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemik, tiada yang lebih penting daripada negara dan negeri ditadbir oleh kerajaan yang stabil. Alhamdullilah, Sarawak mempunyai kerajaan yang agak kuat di bawah pentadbiran GPS.

10. Namun, di peringkat Persekutuan keadaan agak membimbangkan akibat perebutan kuasa dan pertelingkahan antara parti-parti politik. Saya amat bersetuju dengan saranan bahawa ini bukanlah masa untuk berpolitik tetapi adalah masa untuk mengemblengkan masa dan tenaga untuk menangani ancaman COVID-19.

SARAWAK, MALAYSIA SEIIRING SEJALAN

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

11. Sebagai sebahagian daripada negara yang berlandaskan konsep Persekutuan, kita harus akur bahawa negeri ini ditadbir mengikut undang-undang Persekutan dan juga undang-undang negeri. Ada kuasa di bawah Persekutuan dan ada juga kuasa di bawah negeri, di samping kuasa-kuasa di bawah Senarai Bersama. Ini semua termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963.

12. Selepas 58 tahun, apa yang seharusnya berada pada bidang kuasa negeri hendaklah dikembalikan kepada negeri jika ada mana-mana hak yang sudah terhakis samada secara sengaja atau tidak sengaja. Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang telah menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan saya percaya ini adalah platform yang amat baik untuk melibatkan kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam perundingan dalam usaha mencari penyelesaian.

13. Alhamdullilah, setakat ini Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan hak-haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya. Pertamanya, sekarang Sarawak mendapat pulangan yang lebih daripada hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan Cukai Jualan ke atas produk minyak dan gas yang keluar dari Bumi Sarawak. Keduanya, melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau CSA yang dimetrai dengan Petronas, Sarawak sekarang mempunyai hak ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau Production Sharing Contract (PSC) yang diaward oleh Petronas. Ketiganya, Sarawak mempunyai hak untuk mengawardkan konsesi penerokaan bagi medan-medan minyak di daratan seperti di Miri dan Marudi berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

14. Apa yang penting, harus ada persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam konteks penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Wilayah Semenanjung, Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan Negeri hendaklah sama-sama wujud dan mentadbir dalam suasana yang harmonis berlandaskan Perlembagaan.

MALAYSIA HAK SEMUA

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

15. Malaysia dibentuk berasaskan perpaduan dan semangat saling hormat menghormati antara pelbagai kaum. Tidak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak semua rakyat Malaysia menyanyikan Lagu Kebangsaan yang sama iaitu “Negaraku”. Kita juga mengibarkan bendera kebangsaan yang sama, iaitu Jalur Gemilang. Ini adalah lambang kedaulatan negara yang harus dihormati dan memberi rasa kemegahan kepada seluruh rakyat Malaysia.

16. Malaysia adalah negara kita. Rakyat Malaysia yang bukannya berasal dari Malaysia seperti kaum India dan China yang sudah tinggal beberapa generasi di negara ini pun menganggap Malaysia sebagai tanah tumpahnya darah mereka, bukannya India atau China. Paling-palingpun mereka sekali sekala berkunjung ke India atau China untuk melancong atau mengunjungi sabahat handai di sana, tetapi mereka tetap akan kembali ke Malaysia kerana Malaysia adalah negara asal mereka.

17. Sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, marilah kita semua mengibarkan Bendera Kebangsaan kita, baik di rumah atau di bangunan pejabat atau bangunan kedai sebagai simbol patriotisme semua kita terhadap membina Malaysia yang lebih cemerlang.

PENUTUP

18. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak khususnya Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang telah bertungkus lumus membuat segala perancangan dan persediaan acara pada hari ini serta program-program bagi mengisi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini.

19. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sarawak pada kali ini.

20. Sekian, wabilahi taufik walhidayah salam mualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Sumber dari : Sarawakku